Fakta! Kali Terakhir Liverpool Tidak Dapat Dikalahkan Sehingga 18 Perlawanan Liga

Liverpool berada di dalam landasan yang sebenar pada musim ini, dengan Jürgen Klopp tidak mahu merosakkan momentum para pemainnya yang kini mengharapkan untuk menjulang piala liga buat kali pertama sejak PL diperkenalkan pada 1992.

Hakikatnya, The Reds masih liat untuk ditewaskan pada 18 perlawanan yang pertama di liga dan telah memenangi 15 daripadanya.

Rekod kebal Liverpool itu juga adalah yang terbaik untuk mengharungi musim ini, dengan ianya kali pertama mereka berjaya lakukan sejak musim 1987-1988, di mana mereka berjaya meraih gelaran liga pada tahun tersebut.

Kemenangan 2-0 yang terbaharu ke atas Wolves adalah sinar harapan bagi The Kop yang semakin “mengidam” kejuaraan yang mereka nantikan setelah sekian lama.

Liverpool mencatatkan kemenangan paling penting pada musim ini setelah menewaskan Wolverhampton Wanderers pada aksi awal pagi Sabtu dengan ayam tambatan mereka, Mohamed Salah dan pertahanan termahal di dunia, Virgil van Dijk berada di dalam senarai penjaring aksi tersebut.

Berita baik itu juga disambung pula dengan kekalahan mengejut 3-2 Manchester City kepada Crystal Palace di halaman mereka sendiri, itu bermakna Liverpool masih bermaharajalela di takhta liga dengan 4 mata berada di atas The Citizens sehingga berakhirnya perayaan Krismas nanti.

Namun, pengurus Jerman itu sedar bahawa cabaran getir yang mereka harus tempuhi adalah ketika berdepan dengan Man City sendiri pada 3 Januari nanti di Etihad Stadium.

“Kami seharusnya lebih peka dan fokus mengenai perlawanan menentang City nanti. Ia sudah terang lagi bersuluh bahawa aksi tersebut adalah amat penting, bukan sahaja bagi kami, malahan kepada pihak lawan jua. Kami perlu menjadi lebih “kompak” dalam bahagian serangan dan pertahanan pada perlawanan yang bakal menghitung nasib kedua-dua pasukan nanti.” ujar Klopp

Fakta lain yang mampu mengukir senyuman penyokong The Reds ialah kali terakhir Man City kalah kepada Crystal Palace pada 1990 di mana tahun itu Liverpool menjuarai liga!

Leave a Reply

%d bloggers like this: